fbpx

Ee Yi-Yew Sin lepas geram di Terbuka China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EE YI-YEW SIN mempamerkan aksi terbaik di Terbuka China apabila mara ke pentas separuh akhir esok.

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin terpaksa bermandi peluh sebelum bangkit melakukan kejutan mengatasi gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto sekali gus menempah tiket ke pentas separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka China esok.

Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Gimnasium Xincheng, Changzhou hari ini, Ee Yi-Yew Sin mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila berjaya mengatasi gandingan pilihan keenam kejohanan menerusi kemenangan 14-21, 21-17, 21-14 dalam tempoh 58 minit.

Bagi Yew Sin, kemenangan terutama di pentas Super 1000 adalah penting bagi mereka terutama untuk meningkatkan keyakinan mereka semula dan memperbaiki kedudukan ranking dunia selepas bergelut dengan prestasi pada tahun ini.

“Saya rasa dengan melangkah ke pentas separuh akhir ini adalah penting buat kami dari semua sudut termasuk memperbaiki kedudukan ranking kami. Kemenangan di suku akhir ini juga meningkatkan keyakinan kami dan juga baik untuk strategi perlawanan,” kata Yew Sin kepada BWF sebentar tadi.

Dalam pada itu, Ee Yi benar-benar gembira dengan pencapaiannya ketika ini kerana dia baru pulih dari kecederaan dan hanya memberikan persembahan terbaik.

“Sangat bermakna bagi saya kerana saya baru pulih dari kecederaan. Jadi, saya tidak memikirkan banyak perkara dan memberi tumpuan dalam latihan serta memberikan segala-galanya dalam perlawanan ini. Menang atau kalah itu tidak penting, perkara paling utama adalah kami telah berikan yang terbaik,” ujarnya.

Selain Ee Yi-Yew Sin,beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai turut berjaya menempah tiket ke separuh akhir selepas pasangan yang menghuni ranking ke-12 dunia itu membenam beregu No. 2 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin menerusi kemenangan straight set 23-21, 21-16 dalam masa 34 minit.

Pada separuh akhir, esok, pasangan suami isteri itu akan turun beraksi menentang satu lagi beregu China, Cheng Xing-Zhang Chi setelah beregu No. 22 dunia itu menewaskan wakil Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 21-15, 21-19.

Satu lagi wakil Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut cemerlang apabila berjaya mengetepikan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun 21-19, 21-18 dalam masa 44 minit.

Pada aksi separuh akhir esok, Sze Fei-Izzuddin akan berdepan beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin yang menewaskan pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard menerusi keputusan 21-19, 21-19. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI