fbpx

Dua lelaki didakwa buat iklan pelacuran, persundalan di Telegram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Muzakker (kiri) dan Mohammad Fariz Ikmal ketika dibawa ke Mahkamah Majistret dan Sesyen hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja kilang didakwa ke Mahkamah Sesyen dan Majistret hari ini atas pertuduhan membuat iklan perkhidmatan pelacuran di laman sosial Telegram dan miliki kandungan lucah, minggu lalu.

Bagaimanapun, Ahmad Muzakker Aiman Ruziman, 25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hamidah Mohamed Deril dan Majistret Amira Abd. Aziz.

Di hadapan Hakim Hamidah lelaki itu didakwa mengiklankan perkhidmatan yang membawa maksud perkhidmatan pelacuran melalui laman sosial telegram atas nama “Lyana Ratu Spa Trusted” @OMGITSMELIA kepada seorang lelaki bagi maksud persundalan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Ipoh, Sentul di sini pukul 11.15 pada 9 September lalu mengikut Seksyen 372 (1)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara di Mahkamah Majistret, Ahmad Muzakker memiliki kandungan lucah pada waktu, tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi dan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim seorang lelaki yang berperwatakan wanita turut didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat pengiklanan khidmat persundalan dan menyimpan gambar dan video lucah.

Di Mahkamah Sesyen, Mohammad Fariz Ikmal Azhar, 23, Mohammad Fariz didakwa membuat pengiklanan khidmat persundalan menggunakan aplikasi Telegram atas nama @Datin_Uzawa199 mengikut Seksyen 372 (1)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama.

Di Mahkamah Majistret, Mohammad Fariz Ikmal didakwa menyimpan beberapa keping gambar lucah dan video lucah mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama.

Kedua-dua perbuatan didakwa dilakukan di tempat yang sama iaitu di sebuah restoran Jalan Sentul di sini pukul 10.45 pagi pada tarikh yang sama.

Mahkamah kemudian membenarkan Ahmad Muzakker diikat jamin RM12,000 manakala Mohammad Fariz Ikmal diikat jamin RM7,500.

Tarikh 21 dan 22 Oktober serta 11 November ini bagi sebutan semula kes.

Semasa prosiding, pendakwaan diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Joshua Tee Yee Khuan, Muhammad Zulhilmi Latif, Nidzuwan Abd Latip dan Nur Shakila Mohd Shariff.

Tertuduh-tertuduh diwakili peguam Tripat Singh dan Suriati Che Ariffin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI