ATHENS – Bekas penyerang Manchester United, Anthony Martial dilaporkan telah mencapai persetujuan untuk menyertai AEK Athens dengan perjanjian bernilai £8.8 juta (RM49.3 juta) selepas keluar dari Manchester United.
Pemain berusia 28 tahun itu yang berstatus ejen bebas sejak kontraknya dengan United tamat pada Jun lalu, sebelum ini menarik minat dari beberapa kelab termasuk Flamengo dari Brazil, namun perpindahan tersebut gagal direalisasikan awal bulan ini.
Martial telah bersetuju untuk menandatangani kontrak tiga tahun bersama AEK Athens dengan nilai gaji tahunan £2.9 juta (RM16.2 juta) semusim dan sudah tiba di Athens untuk melengkapkan perpindahannya dengan menjalani pemeriksaan perubatan.
Sebelum ini, ejen Martial, Philippe Lamboley mendedahkan bahawa pemain itu memasang impian untuk kembali ke skuad kebangsaan Perancis dan menjalani latihan intensif selama dua bulan untuk memastikan tahap kecergasan terbaik sebelum menyertai kelab baharu.
“Anthony mencari projek yang bercita-cita tinggi untuk meraih kejayaan besar di peringkat kelab dan membuka peluang untuk kembali ke pasukan kebangsaan Perancis,” kata Lamboley.
Terdahulu, Martial yang menyertai The Red Devils pada 2015 telah membuat 317 penampilan dan menjaringkan 90 gol sepanjang tempohnya bersama kelab itu.
AEK Athens kini menduduki puncak Liga Super Greece dengan rekod tiga kemenangan dan satu seri, meskipun tidak beraksi di kejohanan Eropah musim ini selepas tersingkir dari pusingan kelayakan Liga Konferens Europa bulan lalu. – AGENSI