KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Eddin Syazlee Shith meninggal dunia pada pukul 7.10 pagi tadi di rumahnya di Bukit Chedang, Seremban.
Berita dukacita itu dikongsikan menerusi Facebook, Srikandi Bersatu Malaysia sebentar tadi.
“Innalillahiwainnailaihirojiun. Salam takziah kepada keluarga Datuk Eddin Syazlee Shith atas pemergian beliau. Kehilangan ini pastinya dirasai oleh seluruh rakyat yang mengenali beliau sebagai seorang pemimpin berdedikasi dan berjiwa rakyat.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah,” tulisnya.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, 50, pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Menteri Kerja Raya.
Selain itu, Allahyarham merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Ketua Bahagian Bersatu Kuala Pilah. – KOSMO! ONLINE