ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun menjadi korban banjir pertama selepas terjatuh ke dalam longkang di Lorong Seri di sini semalam.
Difahamkan mangsa, Noraisyah Misha Afifah Abdul Fatah keluar bermain bersendirian di luar rumahnya pada pukul 3 petang.
Menurut datuknya, Mohd. Hamidan Hashim, 38, kejadian lemas itu tidak disedari oleh anaknya yang juga ibu mangsa, Siti Nurfarhana yang berada di dalam rumah.
“Saya difahamkan sebelum kejadian anak dan cucu saya tidur di dalam rumah. Siti Nurfarhana tersedar anaknya sudah tiada di sebelahnya. Ketika itu mungkin dalam pukul 3 petang.
“Anak saya meminta orang kampung mencari cucu. Saya dimaklumkan kejadian itu pada pukul 6 petang dan bergegas ke rumah anak. Lama kami mencari di kawasan sekeliling tetapi tak jumpa. Hanya pukul 8.30 malam baru mayat cucu saya timbul,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.
Menceritakan saat-saat mencemaskan itu, Mohd. Hamidan memberitahu, kawasan rumah anaknya itu dinaiki air sejak kejadian banjir pada 16 September lalu.
“Terdapat longkang berdekatan dengan rumah dan terowong kira-kira lima meter. Apabila air longkang naik, memang tak nampak. Saya mengesyaki cucu terjatuh longkang lalu dibawa arus ke dalam terowong.
“Berderau darah nampak mayat cucu yang pada mulanya saya sangka anak patung. Macam nak pengsan, saya sendiri turun (dalam longkang) dan angkatn ke atas. Dia sudah tidak bernyawa. Waktu itu sudah pukul 8.30 malam. Kami sekeluarga reda,” katanya.
Tambahnya, cucunya itu tidak menunjukkan sebarang tanda namun bertukar menjadi pendiam dan tidak ceria sejak semalam.
“Arwah paling rapat dengan saya dan sangat periang, tetapi sejak semalam dia jadi pendiam. Dia tidak mahu makan dan tidak mahu dekat (rapat) dengan saya,” katanya.
Jenazah Noraisyah Misha akan dikebumikan di Masjid Derga di sini sebaik urusan bedah siasat selesai. – KOSMO! ONLINE