KUALA LUMPUR – Digertak bakal diheret ke mahkamah atas dakwaan memfitnah, pengacara Uyaina mengakui belum menerima surat tuntutan atau Letter of Demand (LOD) daripada peguam yang mewakili ‘Abang Bas’.
Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 31, berkata tiada sebab untuk takut kerana dia tidak pernah menuduh lelaki yang sudah didakwa atas pertuduhan amang seksual itu sebagai bersalah.
“Setakat ini saya tak terima notis tuntutan mahkamah dan saya pun tidak melakukan provokasi. Saya yakin dan percaya ramai orang turut bersuara mengenai isu (Abang Bas) yang sangat berat ini.
“Masyarakat kita secara umumnya sudah cakna dan mula faham berkenaan ‘sexual grooming’ atau pengantunan seksual bukan hanya selebriti, malah peguam, doktor dan netizen pun bersuara.
“Cuma mungkin ada segelintir individu yang terus jatuh hukum, saya pula pernah cakap seseorang tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah,” katanya ketika ditemui pada sidang media program Tiga Is3 di The Majapahit, hari ini.
Menurut pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu, dia juga tidak akan meminta maaf, sebaliknya sedia menegakkan kebenaran jika diminta berbuat demikian.
Uyaina juga berbesar hati apabila ramai peguam menghubunginya dan menawarkan diri mewakilinya andai pihak berkaitan mahu meneruskan tindakan saman.
“Saya suarakan berdasarkan fakta. Apa yang saya lakukan bukan ‘personal attack’. Ini bukan kerana dia, tetapi saya tegur tindakannya. Kalau berdiam benda itu akan jadi normalisasi.
“Sebenarnya ramai peguam yang hubungi saya untuk menawarkan perkhidmatan guaman sekiranya saya menerima apa-apa surat dari mahkamah.
“Mereka mahu bela saya tetapi itu bukan matlamat utama. Kalau saya terima surat daripada sesiapa pun, saya harap saya matang dan fikirkan yang terbaik dengan membuat keputusan atas nasihat peguam,” ujarnya.
Terdahulu, Uyaina antara selebriti dan orang ramai yang meluahkan kekesalan dengan tindakan seorang pemandu bas merakam video pelajar sekolah berusia sembilan tahun bersama kapsyen jelik.
Tegasnya, konten seumpama itu boleh menyumbang risiko kepada jenayah melibatkan kanak-kanak.
Pemandu bas lebih dikenali sebagai ‘Abang Bas’ itu didakwa di Mahkamah Muar, Johor atas pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan namun dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM40,000.
Rentetan itu, keluarga abang bas menyatakan hasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap individu dan selebriti yang didakwa mengundang syak wasangka serta kecaman terhadap mereka. – KOSMO! ONLINE