fbpx

Banyak salah faham punca kandas awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEARLY dan Thinaah gagal melangkah ke suku akhir Terbuka China selepas tewas di pusingan kedua semalam.

BEREGU wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M.Thinaah terpaksa menamatkan perjalanan mereka pada Kejohanan Badminton Terbuka China lebih awal selepas tumpas di tangan pasangan tuan rumah, Li Yi Jing-Luo Xu Min semalam.

Juara Terbuka Hong Kong itu yang diberikan ‘bye’ ke pusingan kedua, gagal memanfaatkan peluang sebaik mungkin di kejohanan berstatus Super 1000 apabila tewas 16-21, 18-21 dalam tempoh 40 minit di tangan gandingan No. 18 dunia tersebut.

Thinaah mengakui mereka terpaksa akur dengan kekalahan tersebut dan mengambilnya sebagai pengajaran terbaik untuk tampil lebih baik selepas ini.

“Lawan kami memberi tekanan cukup banyak dan kami agak lambat untuk menjangkakan pukulan mereka. Terdapat banyak pukulan 50-50 menyebabkan kami banyak salah faham, jadi saya rasa kami perlu banyak belajar mengenai perkara itu.

“Buat masa ini kami hanya perlu berehat dan mendapatkan momentum kami terutama lebih konsisten serta mengenai strategi pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, perjalanan beregu campuran negara, Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei turut terhenti di pusingan kedua selepas tewas kepada wakil Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja.

Dalam aksi di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, permainan beregu kesembilan dunia itu serba tidak menjadi apabila banyak melakukan kesilapan mudah sehingga memaksa mereka tewas dalam pertarungan tiga set, 15-21, 21-13, 9-21 dalam masa 56 minit.

“Saya tidak bermain dengan baik sejak permainan pembukaan hingga akhir. Ia sangat mengecewakan, saya sangat kesal dengan permainan saya kerana Ee Wei sudah memberikan yang terbaik,” kata Tang Jie.

Sementara itu, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin meneruskan momentum apabila menewaskan rakan sepelatih, Yap Roy King-Valeree Siow 21-9, 21-15 dalam tempoh 24 minit dan bakal bertemu Ferdinansyah-Widjaja di peringkat suku akhir hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI