PETALING JAYA – Rangka kerja perlindungan sosial bagi pekerja berisiko perlu diwujudkan bagi mengukuhkan sistem keselamatan sosial sekali gus menangani rangkaian cabaran.
Perkara itu ditekankan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh dan Pekerjaan BRICS (LEMM) di Sochi, Russia baru-baru ini.
Dalam kenyataan semalam, Mohammed Azman yang juga Presiden International Social Security Association (ISSA) berkata, mesyuarat di Sochi bukan hanya berkisar tentang dasar, tetapi juga penyelesaian konkrit yang boleh membentuk semula sistem perlindungan sosial agar lebih terangkum.
“Fokus untuk menyesuaikan semula sistem keselamatan sosial dilihat amat penting dalam ekonomi membangun.
“Di mana jurang dalam perlindungan sering menyebabkan segmen besar penduduk tidak dilindungi,” katanya.
Menurut beliau lagi, perbincangan LEMM tepat pada masa kritikal ketika ini kerana banyak negara sedang menghadapi gangguan ekonomi dan perubahan teknologi.
“Cabaran seperti ini telah melebarkan jurang pendapatan serta mencetuskan banyak situasi pekerjaan tidak menentu, terutama dalam ekonomi tidak formal dan gig,” katanya.
Beliau merupakan antara yang hadir mewakili suara 333 ahli institusi dari 162 negara pada mesyuarat tersebut dan berperanan menekankan pendirian proaktif ISSA yang menggalakkan keterangkuman sosial dan perlindungan pekerja.
Mesyuarat tersebut yang diadakan selama dua hari bermula 9 September lalu telah menghimpunkan menteri-menteri dan wakil-wakil utama dari negara-negara BRICS – Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan.
Buat pertama kalinya juga, mesyuarat tersebut turut dihadiri negara-negara anggota baharu pasca peluasan BRICS termasuk Mesir, Iran, Arab Saudi, UAE dan Ethiopia.
Perbincangan terarah kepada penyesuaian semula rangka kerja keselamatan sosial untuk menangani isu-isu pekerjaan yang tidak menentu, ketidaksaksamaan pendapatan dan perubahan bentuk pekerjaan.
Hasil mesyuarat dijangka memberi kesan limpah ketara terhadap amalan buruh global, terutama di negara membangun yang sedang berusaha memperkukuh keupayaan institusi dan memperluaskan perlindungan kepada pekerja berisiko.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan permohonan Malaysia untuk menyertai BRICS, selari usaha meningkatkan kerjasama antarabangsa dan mewakili suara ASEAN dalam forum-forum global. – KOSMO! ONLINE