GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) sedia menerima kemasukkan pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan untuk menyambung pengajian ke universiti awam berkenaan.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, dalam menyokong usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melahirkan bakat terbaik negara, USM telah bersedia dengan pelbagai bentuk sumbangan bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung pelajar terkesan.
“Ia bagi memastikan hasrat mereka (pelajar baharu) untuk ke menara ilmu berjaya direalisasikan.
“Antara bentuk bantuan yang disediakan termasuklah kesediaan untuk menerima pelajar mendaftar di USM tanpa sebarang bayaran melalui Program Pembangunan Siswa SULUNG 3.0,” katanya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, bagi pelajar lain yang tidak berkemampuan juga diberi peluang untuk mendaftar dahulu tanpa sebarang bayaran dan dengan kemudahan bayaran yuran secara ansuran mengikut kemampuan masing masing.
“Dalam masa yang sama, USM juga akan menyalurkan bantuan bantuan lain menggunakan Tabung – Tabung Kebajikan Pelajar, Tabung Zakat USM dan sebagainya.
“Jika ada mana-mana pelajar yang berada dalam kesusahan dan kebuntuan dalam mencari sumber kewangan untuk menyambung pengajian ke USM, pelajar dipohon untuk bersegera menghubungi Unit Kebajikan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM bagi membolehkan bantuan awal disalurkan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan semua pentadbir universiti diarahkan menerima kemasukan pelajar miskin dan daif termasuk menangguhkan bayaran yuran pendaftaran.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir meminta pihak universiti menguruskan bantuan awal pengajian bagi mahasiswa yang tidak berkemampuan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). – KOSMO! ONLINE