fbpx

Teliti peruntukan bawa balik bahan sejarah negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tengah) ketika merasmikan konvensyen tersebut di Shah Alam hari ini. - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

SHAH ALAM – Kerajaan bersedia membawa semula bahan-bahan sejarah termasuk meneliti peruntukan bagi memperoleh semula artifak dan dokumen yang kini berada di luar negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebenarnya beberapa usaha telah dibuat, namun peruntukan terlalu sedikit.

“Apa yang diperlukan arkib negara tadi, satu peruntukan berdasarkan kepada nilai-nilai bahan sejarah masih tertinggal atau disimpan oleh penyimpan sama ada di pejabat bekas penjajah atau muzium atau tempat lain yang dipegang individu.

“Harganya mungkin mahal dan ini dimaksudkan supaya bahan-bahan dapat dibawa ke Malaysia untuk dijadikan sebagai bahan sejarah atau bukti.

“Memang keperluan ini sangat mendesak bukan hanya bahan-bahan sejarah yang berbentuk artifak, tetapi banyak dokumen-dokumen pada hemat saya masih terdapat di luar negara,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024 “Menelusuri Sejarah: Membina Perpaduan Negara Bangsa” di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, bahan-bahan sejarah itu bukan hanya dicuri, tetapi ada yang dirampas dan dibawa sebagai dokumen sulit oleh pegawai-pegawai berkenaan (pada zaman penjajah) secara peribadi atau rasmi.

Beliau memaklumkan kos atau peruntukan bagi tujuan tersebut akan dibawa oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam mesyuarat Jemaah Kabinet.

“(Beli atau berunding untuk dapatkan bahan sejarah itu) Perlu diperundingkan terutama dari segi harga dan tentang kebolehan untuk mereka mengeluarkan bahan itu daripada tempat simpanan mereka.

“Ini wajib, berapa pun harganya saya fikir usaha mesti dibuat kalau tidak sepenuhnya dibiayai kerajaan mungkin pihak swasta khususnya syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh biayai sebahagian kos itu,” katanya.

Terdahulu, Aaron dalam ucapannya memaklumkan masih banyak rekod-rekod Malaysia yang berada di luar negara perlu diperoleh kerana amat penting untuk dijadikan bukti bagi mempertahankan hak kedaulatan kawasan, sempadan dan wilayah.

“Kegagalan memperolehi rekod-rekod ini termasuk dokumen rasmi dan tidak rasmi seperti fail pentadbiran, laporan dan penjanjian membuatkan negara mungkin kehilangan hak kepentingan melindungi negara dan rakyat di masa depan.

“Namun, kos untuk memperoleh rekod-rekod ini adalah besar dan berharap mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Ahmad Zahid dalam perkara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI