KLANG – Taktik menyeludup sebanyak 13. 1 tan cecair nikotin bagi tujuan bahan vape sebagai cecair nyahkuman terbongkar dalam pemeriksaan sebuah kontena di Pelabuhan Barat, awal bulan ini.
Rampasan bernilai RM1.3 juta itu dilakukan pada 4 September oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, siasatan mendapati cecair tersebut dibawa masuk dari negara jiran.
Katanya, ia dipercayai adalah untuk kegunaan vape dan dijual di pasaran tempatan.
“Semasa pemeriksaan didapati dagangan itu diisytiharkan sebagai cecair nyahkuman. Barangan tersebut juga tidak mempunyai permit import daripada Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Norlela turut memaklumkan pihaknya juga berjaya mematahkan penyeludupan 1.7 kilogram ganja yang ikrarkan sebagai teh Cina dan Thailand di Pusat Mel dan Kurier Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Tambah beliau, dadah tersebut diletakkan dalam empat bungkusan kurier RM13,955 yang ditemui dalam pemeriksaan dijalankan pada 16, 22 dan 29 Ogos lalu.
“Kita turut mendapat penyeludup cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan mengikrarkan bungkusan itu sebagai cenderhati. Ia dikatakan diimport dari negara di sekitar Asia Tenggara dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE