fbpx

Rayuan Kerajaan Malaysia isu pindah milik tanah Jalan Duta didengar 7 November

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsul (kiri) dan Cyrus ketika hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini menetapkan 7 November ini bagi pendengaran rayuan Kerajaan Malaysia berhubung pindah milik tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta kepada Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. yang merupakan pemilik asal lokasi itu.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Lee Swee Seng menetapkan tarikh tersebut selepas membenarkan permohonan penangguhan daripada Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili Kerajaan Malaysia.

Selepas memberikan tarikh pendengaran itu Hakim Swee Seng kemudian berkata supaya pihak-pihak dapat berbincang (penyelesaian) sebelum tarikh pendengaran.

“Mahkamah harap pihak-pihak berbincang menyelesaikan isu ini,” katanya ringkas.

Terdahulu semasa prosiding, Shamsul memohon penangguhan tersebut atas alasan terdapat dua rayuan yang difailkan oleh kedua-dua pihak secara berasingan dan memohon agar kedua-duanya didengar bersama memandangkan ia membabitkan tanah yang sama.

Semasa prosiding peguam Datuk Dr. Cyrus Das mewakili Semantan Estate.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azimah Omar dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Minggu lalu, Kerajaan Malaysia berjaya mendapat penangguhan perintah untuk pindah milik tanah itu seluas 106.542 hektar di Jalan Duta (kini dikenali sebagai Jalan Tuanku Abdul Halim) kepada Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. yang merupakan pemilik asal lokasi tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Kerajaan yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan atas alasan kepentingan awam.

Sebelum itu pada 7 Ogos lalu, Hakim Ahmad Shahrir memerintahkan kerajaan memindah milik tanah berkenaan kepada Semantan Estate selepas membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan selaku defendan.

Pada 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 106.542 hektar itu yang telah diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.

Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan, namun ditolak pada 18 Mei 2012 dan pada 21 November 2012, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan bagi kebenaran merayu keputusan itu.

Pada 2018, Mahkamah Persekutuan sekali lagi menolak permohonan kerajaan untuk menyemak semula keputusannya sebelum ini.

Semantan Estate memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan pada Februari 2017 untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009.

Kerajaan juga telah mencadangkan penyelesaian berhubung pertikaian tanah itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI