KUCHING – Polis Sarawak telah mengenal pasti operasi yang dijalankan oleh Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) di negeri ini.
Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, tiada tangkapan dibuat setakat ini dan pihaknya terus memantau kegiatan GISBH itu.
“Kami sudah lama pantau. Kami tengah membuat siasatan dan terus membuat risikan,” katanya pada sidang media Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mancha berkata, pihaknya tiada menerima sebarang laporan mengenai kegiatan GISBH di Sarawak.
“Kes ini masih dalam pemantauan dan kami sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman,” katanya.
Minggu lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB Holdings dan menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun.
Ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISB Holdings dalam Op Global itu mendapati mereka mengalami penderaan fizikal dan emosi serta eksploitasi buruh termasuk dipaksa bekerja menjual barang.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kemudian menitahkan PDRM supaya menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal GISB Holdings. – KOSMO! ONLINE