JITRA – Kira-kira 93 pesawah di Lubuk Batu, di sini terpaksa menanggung kerugian lebih RM2 juta selepas kawasan sawah mereka seluas 232 hektar tenggelam dalam banjir sejak Isnin lalu.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lubuk Batu, Harun Zamri, 72, apa yang menyedihkan apabila kebanyakan sawah tersebut hanya menunggu masa untuk dituai.
“Selepas air kering, pokok padi ini akan diselaputi lumpur dan tidak lagi dapat dituai akibat padi rebah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, kerugian yang ditanggung kali ini sangat besar yang mana situasi sama pernah menimpa pesawah di negeri ini dalam kejadian banjir pada 2010.
“Setiap hektar padi boleh menghasilkan pendapatan kira-kira RM9,000, jadi dengan keluasan keseluruhan 232 hektar ini memang kerugian boleh dikatakan lebih RM2 juta,” ujarnya.
Bagi pesawah, Abdul Jalil Abdullah, 59, berkata, dia sudah menempah mesin padi untuk proses menuai sawah miliknya yang berkeluasan kira-kira 1.5 hektar di Kampung Padang Luar.
“Kalau tiada bantuan segera, saya memang dah tak mampu nak mulakan semula tanaman padi selepas ini. Bukan saya sahaja, rakan-rakan petani lain pun berdepan kesukaran sama yang memerlukan bantuan modal,” ujarnya.
Pesawah, Megat Asmadi Megat Saidin, 52, pula berkata, dia menanggung kerugian lebih besar kerana turut menawarkan perkhidmatan traktor pembajak yang diupah petani lain.
“Kebiasaannya pada setiap musim untuk memulakan tanaman padi, saya akan membajak kesemua 232 hektar sawah di kawasan ini dan bayaran hanya akan dibuat selepas menuai.
“Dengan keadaan semasa yang mana padi tidak boleh dituai, saya tidak tahu apa yang boleh dibuat ketika ini kerana pendapatan kami amat terjejas dan runsing memikirkan nasib,” jelasnya.
Tambahnya, selepas ini pesawah juga perlu memulihkan tanah sawah yang terendam terlebih dahulu sebelum boleh memulakan musim tanaman seterusnya yang dijadualkan bermula seawal bulan depan.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang negeri, Nor Rahila Yusof berkata, kesemua petani yang terjejas diminta mengambil langkah segera bagi membolehkan bantuan disalurkan.
“Kita sudah ada prosedur operasi standard (SOP) untuk bantuan dan apabila banjir terjadi petani kena cepat ambil gambar bendang dan buat laporan polis serta pada masa sama PPK akan selaras dengan Jabatan Pertanian untuk menganggarkan nilai kerosakan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE