fbpx

Pengesahan status perkahwinan tentukan nasab kanak-kanak 20 rumah amal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na’im. - Foto oleh SADDAM YUSOFF

PETALING JAYA – Pengesahan status perkahwinan ibu bapa oleh mahkamah syariah negeri akan menentukan nasab kanak-kanak yang diselamatkan daripada 20 rumah amal dalam Op G;obal baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada penilaian keterangan dan bukti yang akan  diperoleh.

“Penentuan nasab ini terletak dalam bidang kuasa mahkamah-mahkamah syariah negeri. Hakim-hakimnya akan melihat kepada keterangan sama ada lisan atau dokumen diberikan sebelum menentukan perkahwinanan ibu bapa kanak-kanak terlibat sah atau tidak.

“Apabila ia disahkan, jabatan agama Islam negeri kemudian akan keluarkan sijil nikah dan sijil itulah yang akan membolehkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan sijil kelahiran sah anak-anak terlibat pula.

“Pengisytiharan sah taraf perkahwinan penting bagi membolehkan anak-anak itu didaftarkan kelahiran mereka di JPN,” katanya pada Majlis Kesyukuran Sempena Tamat Operasi Haji Musim 1445 Hijrah di Menara TH, hari ini.

Terdahulu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, siasatan mendapati sebahagian kanak-kanak terbabit sudah di’bin’kan dengan Abdullah disebabkan perkahwinan awal tidak didaftarkan.

Minggu lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB Holdings dan menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja. Mereka terdiri daripada 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun.

Ujian saringan kesihatan mendapati ada dalam kalangan mereka mengalami penderaan fizikal dan emosi serta eksploitasi buruh termasuk dipaksa bekerja menjual barang.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan Polis Diraja Malaysia supaya menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal GISB Holdings. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI