SEREMBAN – Seorang pemandu lori yang dipercayai menjadi punca berlakunya kemalangan melibatkan dua lori dan lapan kereta yang mengakibatkan kematian seorang lelaki di Jalan Seremban-Tampin semalam direman selama dua hari untuk membantu siasatan.
Permohonan reman terhadap lelaki berusia 38 tahun itu dibuat di hadapan Majistret Marlissa Mohd Fahmy di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, hasil ujian urin ke atas pemandu lori jenis Hino berkenaan mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamine.
“Lelaki ini akan disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis sudah menahannya semalam dan permohonan reman dibuat pagi ini di Mahkamah Majistret dan reman dibenarkan selama dua hari,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam media melaporkan, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika semua kenderaan bergerak perlahan di lokasi sebelum lori dipandu lelaki berkenaan datang dari arah belakang.
Mohamad Hatta berkata, lori yang membawa muatan batu gunung dari arah Tampin ke Seremban dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar kenderaan yang berada di hadapannya. Akibat kemalangan itu, kenderaan lain dikatakan melanggar satu sama lain.
Seorang lelaki berusia 31 tahun yang memandu kereta jenis Proton Iswara disahkan maut di lokasi kejadian akibat tersepit di dalam kereta kerana dihempap lori itu. – KOSMO! ONLINE