fbpx

‘Nak maki pun carilah fakta sahih’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DIANA cabar pihak yang menuduhnya melaporkan kes Abang Bas kepada pihak berkuasa tunjukkan bukti.

PETALING JAYA – Sekali lagi menepis tuduhan melaporkan kes Abang Bas kepada polis, pelakon Diana Danielle mencabar pihak yang mendakwa dirinya memulakan tindakan tersebut agar mengemukakan bukti.

Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, berkata, laporan membabitkan individu dikenali sebagai Abang Bas yang didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak itu diarahkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

“Lagi satu, nak marah biar tepat. Minggu lepas saya dah keluarkan kenyataan rasmi, bukan saya yang buat laporan terhadap sesiapa.

“Laporan dan tindakan dibuat adalah dari Kementerian Wanita & Keluarga sendiri. Kes ini adalah kerajaan Malaysia vs defendan.

“Saya cabar anda untuk buktikan yang saya buat laporan. Terterakan nama saya dalam setiap laporan,” tulisnya dalam laman sosial.

Isteri kepada pelakon Farid Kamil itu turut meminta orang ramai jangan melulu membuat tuduhan hanya bersandarkan perkara yang mereka ingin dengar.

Katanya, sebarang dakwaan perlu berdasarkan bukti sahih yang sudah disahkan bukan menerusi khabar palsu.

“Setakat pakcik kedai kopi sembang ‘rasa’, bumi pun boleh telan matahari. Nak maki pun, cari fakta yang betul.

“Tapi itulah nak suruh membaca payah sikit, budaya kita ini kan lagi suka baca portal yang tak sahih dan berita palsu WhatsApp.

“Okey, teruskan makian anda tapi biar daripada sumber tepat, lawak tengok kalian emosi tapi kutip sumber berita palsu di Facebook, macam mana ini,” ujarnya.

Diana antara selebriti yang berkongsi semula kenyataan media daripada pihak polis berhubung penahanan pemandu bas dipercayai membuat konten murid sekolah juga anak saudaranya berserta kapsyen berbaur jelik.

Bagaimanapun, tindakan Diana disalah erti sehinggakan segelintir netizen mendakwa ibu dua anak itu adalah individu yang membuat laporan polis.

Selepas Abang Bas terbabit dibebaskan dengan ikat jamin polis, keluarganya meluahkan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu dan selebriti yang didakwa mengundang syak wasangka serta kecaman terhadap mereka.

Antara nama dipetik netizen ialah Uyaina dan Diana yang didakwa lantang bersuara mengenai isu berkaitan Abang Bas dalam media sosial. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI