ALOR SETAR – Kenderaan motorhome dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) didakwa dibawa ke sempadan untuk memperbaharui Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) kerana dipercayai hampir tamat tempoh.
Jabatan Imigresen Kedah (JIM) Kedah dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kenderaan itu akan keluar dari Malaysia melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam kira-kira pukul 3 petang, semalam.
Katanya, kenderaan tersebut juga dikatakan akan berhenti di satu lokasi berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, dekat sini.
“Pasukan penguat kuasa segera bertindak atas maklumat itu dengan menjalankan siasatan seterusnya mengesan dua buah motorhome yang membawa lima individu.
“Pemeriksaan awal mendapati kelima-lima individu terbabit adalah warganegara Malaysia berusia antara 29 hingga 45 tahun. Semakan rekod keluar masuk menunjukkan bahawa perjalanan terakhir mereka ke luar negara dilakukan pada 20 Ogos lalu melalui pintu sempadan sama,” katanya.
Menurut kenyataan itu, walaupun tiada perlanggaran undang-undang imigresen dikesan, JIM memutuskan untuk bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana siasatan lebih lanjut sedang dijalankan.
“Setelah kedua-dua motorhome memasuki kawasan ICQS, JIM menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas semua individu terlibat. PDRM kemudian mengambil alih kes ini dan menahan seorang daripada mereka untuk siasatan lanjut, sementara yang lain turut diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan seterusnya,” ujarnya.
Kata kenyataan itu lagi, kenderaan motorhome tersebut dilaporkan dibawa ke sempadan bagi tujuan memperbaharui dokumen ICP yang dikhabarkan hampir tamat tempoh.
“Menurut peraturan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), setiap kenderaan perlu hadir secara fizikal untuk pemeriksaan. Pemeriksaan JPJ mendapati bahawa nombor casis dan enjin kenderaan adalah dalam keadaan baik dan pembaharuan ICP hanya boleh dilakukan di pejabat JPJ sempadan dengan tempoh sah selama tiga bulan,” jelasnya.
Tambahnya, maklumat awal menyatakan bahawa kenderaan tersebut didaftarkan atas nama individu di Qatar, bukan milik GISBH dan menggunakan nombor pendaftaran Dubai dengan nilai RM700,000.
“Setiap motorhome mampu memuatkan enam hingga lapan orang dalam satu masa. Setelah selesai urusan JPJ, kenderaan itu dijangka bergerak ke GISB Darul Aman, Jitra untuk bermalam,” katanya.
JIM pada masa sama menegaskan bahawa pihaknya sentiasa bersedia bekerjasama dengan agensi lain seperti PDRM bagi memastikan keselamatan dan integriti sempadan negara sentiasa terpelihara. – KOSMO! ONLINE