KEMAMAN – Kejadian angin kencang yang melanda Kijal semalam bukan sahaja meragut nyawa seorang penjaja di Pantai Penunjuk di sini, malah menjejaskan lebih 50 rumah penduduk di beberapa perkampungan di sekitar mukim berkenaan.
Bencana alam pada pukul 6.15 petang yang turut merosakkan beberapa infrastruktur awam, premis perniagaan dan kenderaan penduduk disifatkan antara terburuk melanda Kijal dalam tempoh 26 tahun.
Salah seorang penduduk, Mohd Jaafar Shaari, 59, berkata, hampir keseluruhan atap rumahnya rosak diterbangkan angin kencang berkenaan.
Dia berkata, banyak perabot dan barangan elektrik di rumahnya turut rosak akibat bencana alam tersebut.
“Sewaktu kejadian, saya, isteri, Rugayah Yahya, 58, serta anak, Nur Aqilah Najihah, 22, panik melihat satu demi satu atap rumah saya diterbangkan angin kencang sekelip mata.
“Anak saya (Nur Aqilah) nyaris cedera terkena cebisan atap rumah yang jatuh, manakala isteri (Ruqayah) pula terpaksa menyorok di bawah meja makan untuk berlindung,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Darat, Kijal, di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Zaharah Mamat, 63, pula berkata, dia terpaksa memimpin suaminya, Abdullah Shaari, 67, yang cedera pada bahagian kaki akibat kemalangan jalan raya dua minggu lalu untuk menyelamatkan diri.
“Saya dan suami hanya mampu berdoa dan melaungkan azan bersama-sama sewaktu angin kencang itu mengganas,” katanya. – KOSMO! ONLINE