KOTA BHARU – Seorang mekanik maut selepas motosikal yang dia tunggang merempuh sebuah motosikal yang membuat pusingan U di laluan tidak dibenarkan di depan sebuah stesen minyak di Baung, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa, Mahadi Jusoh, 48, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan mendapati, Mahadi menunggang motosikal jenis Honda Wave sedang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Pengkalan Chepa.
Menurutnya, pada masa sama, sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggang Shah Danish Shariff, 19, dari arah Sabak menghala ke Kota Bharu membuat pusingan U di laluan yang tidak dibenarkan.
“Keadaan itu menyebabkan motosikal ditunggang Shah Danish merempuh motosikal mangsa sehingga dia tercampak di atas jalan dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
“Mahadi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala remaja itu yang turut cedera pada bahagian kepala dan badan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, orang ramai yang melihat kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Naqiyuddin Sharifuddin di talian 09-775 2315.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE