fbpx

Majlis Sejarawan Negara kena aktif tangani penyelewengan fakta sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan konvensyen tersebut di Shah Alam, hari ini. - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

SHAH ALAM – Majlis Sejarawan Negara perlu proaktif dalam menangani isu-isu penyelewengan fakta sejarah yang boleh menimbulkan perspektif negatif sehingga menggugat keamanan, keharmonian dan perpaduan rakyat di negara kita.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, majlis berkenaan harus menjadi badan autoritatif paling unggul untuk menentukan bahawa sejarah negara ini mesti ditulis berdasarkan fakta yang mengenepikan sebarang perbezaan terutama warna-warna ideologi politik.

Katanya, kerajaan memandang serius dan memikirkan keperluan untuk para sejarawan bagi duduk bersama-sama di bawah satu bumbung bukan sahaja melalui jawatankuasa sejarah negara atau Majlis Sejawaran Negara.

“Fakta sejarah tidak boleh dipadam hanya sebab berlainan pegangan politik dan fakta perlu kekal untuk diketahui generasi akan datang. Fakta sejarah jika tidak dilindungi dengan sebaik-baiknya ia pasti mudah dimanipulasi bagi kepentingan peribadi dan kelompok tertentu.

“Tambahan, media sosial yang kini menjadi pelantar yang sangat luas dan berbeza dengan para penyelidik dalam siri umur 70-an atau 80-an apatah lagi yang 99 tahun untuk menyuarakan pendapat berdasarkan analisis peribadi.

“Ia harus objektif, sejarah adalah fakta, bukannya memanipulasi kepada fakta,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024 ” Menelusuri Sejarah: Membina Perpaduan Negara Bangsa” di sini hari ini.

Menurut beliau, polarisasi perkauman dan politik yang berlebihan boleh membangkitkan bibit-bibit kebencian yang melampau hingga melupakan fakta sejarah sehingga boleh mengancam hubungan harmoni pelbagai kaum di negara kita.

Justeru, Ahmad Zahid menegaskan, sejarah harus diadaptasikan dan dimurnikan dalam arus peredaran semasa, melupakan perbezaan warna-warna yang diladani, dilayari dengan cara-cara berbeza mengikut perspektif yang lebih objektif tidak kepada kumpulan-kumpulan yang kecil.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar Arkib Negara mestilah terus kehadapan dalam memberikan pemahaman tentang sejarah negara kepada rakyat dan bukan hanya setakat ‘hari ini dalam sejarah’.

“Selain daripada itu, usaha untuk memastikan golongan muda terdidik dengan sejarah negara bangsa tidak boleh dikesampingkan.

“Jika rakyat khususnya generasi muda tidak kenal tanah airnya sendiri, tidak kenal sejarah negaranya sendiri, mana mungkin wujud perasaan hormat, cinta dan taat setia kepada negara. Pastinya keadaan itu akan bertambah parah apabila wujud krisis identiti dalam kalangan generasi muda sehingga mereka tidak memahami siapa diri mereka,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI