MILAN – Permulaan sempurna Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini selepas mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas AC Milan pada perlawanan yang berlangsung di San Siro awal pagi semalam.
Kemenangan itu lebih bermakna apabila ia menjadi hadiah terbaik buat pengurus The Reds, Arne Slot yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-46, sehari sebelum perlawanan tersebut.
Beliau berkata, kemenangan tersebut turut memberi kelegaan selepas mereka tewas mengejut kepada Nottingham Forest dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) meskipun beraksi di Anfield pada Sabtu lalu.
“Satu cara paling baik untuk meraikan ulang tahun kelahiran saya. Saya sangat gembira dengan aksi ditampilkan semua pemain pada perlawanan hari ini (semalam) kerana mereka mahu menebus kekalahan kepada Forest.
“Saya seolah-olah tidak percaya kami tewas kepada Forest sebelum ini kerana pasukan bermain sangat baik. Satu kerugian jika tidak mencatat kemenangan kerana kami mampu tewaskan pasukan hebat seperti Milan,” katanya.
Pada perlawanan itu, Liverpool memastikan tiga mata pertama dalam kempen UCL menerusi jaringan Ibrahima Konate, Virgil van Dijk dan Dominik Szoboszlai manakala gol Milan dijaringkan Christian Pulisic.
“Kami memulakan perlawanan dengan agak goyah tetapi berjaya bangkit selepas memperkemaskan permainan. Saya juga gembira kerana kami sangat berbahaya ketika berada dalam situasi bola mati,” ujar Slot. – AGENSI