KUALA KANGSAR – Sebuah kilang pemprosesan makanan di Sungai Siput di sini dikesan menggunakan logo halal tidak sah sewaktu serbuan bersepadu pihak berkuasa semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi disertai anggota penguat kuasa KPDN, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK).
Melalui pemeriksaan yang dijalankan, kilang itu mengeluarkan produk makanan seperti laksa dan kuetiau.
“Pemeriksaan lanjut ke atas produk di premis tersebut mendapati terdapat logo halal pada bungkusan laksa dan kuetiau keluaran kilang berkenaan.
“Produk laksa dan kuetiau itu dipercayai untuk jualan sekitar Perak dan Pulau Pinang,” katanya hari ini.
Menurut Kamalludin, hasil pemeriksaan mendapati, pemilik perniagaan gagal mengemukakan sijil pengesahan halal Malaysia yang sah.
Sehubungan itu, satu tindakan diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana menggunakan logo halal tanpa kebenaran.
“Sebanyak 3,020 produk laksa dan kuetiau yang siap dibungkus dan tiga gulungan bekas plastik tertera logo halal tidak sah digunakan untuk tujuan perdagangan dan dokumen berkaitan telah disita.
“Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM5,828.50. Kes disiasat di bawah Per.8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal,” katanya.
Kamalludin berkata, jika disabitkan kesalahan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM200,00 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000.
“Manakala jika pesalah bukan pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Selain tindakan kes di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, beliau berkata, operasi bersepadu itu juga telah berjaya mengesan dua kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 melibatkan kompaun sebanyak RM1,000. – KOSMO! ONLINE