fbpx

Kerajaan negeri nafi lepas tangan masalah KDA FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radhi (kanan) menyampaikan kata-kata semangat kepada atlet Para Sukma Kedah di sebuah hotel di Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Kedah, Muhammad Radhi Mat Din menafikan dakwaan kononnya kerajaan negeri bersikap lepas tangan masalah melanda Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Menurut Muhammad Radhi yang juga legenda bola sepak Kedah itu, dakwaan sedemikian langsung tidak tepat kerana kerajaan negeri telah beberapa kali menghulurkan bantuan kepada pasukan berkenaan.

Malah katanya, kejayaan KDA FC mendapatkan lesen kebangsaan untuk beraksi dalam Liga Super musim ini juga sebenarnya merupakan hasil sumbangan kerajaan negeri menerusi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

“Saya fikir Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pun sudah jelaskan banyak kali bahawa kerajaan negeri sudah tidak terlibat secara langsung sebab KDA FC serta pasukan-pasukan lain di bawah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) merupakan entiti dengan kelab sendiri.

“Namun saya nafikanlah kalau ada dakwaan mengatakan KFA atau kerajaan negeri tak bantu langsung. Dalam masa sama, kita pun tak boleh lah bantu sepenuhnya sebab gaji pemain datang daripada kelab, maka pemilik kelab yang perlu menguruskan hal itu.

“Tetapi kita pun tidak mahu menyalahkan pemilik pasukan, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar kerana kami tahu yang beliau bekerja keras dengan memberikan komitmen sangat tinggi. Cuma masalahnya kini, kita tiada tajaan tetap dari tahun lepas lagi dan itu yang membawa kepada masalah kewangan ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Atlet Kedah ke Sukan Para Sukma Sarawak 2024 di sebuah hotel, di sini hari ini.

Seramai 73 atlet diraikan dalam majlis tersebut dengan mereka akan mengambil bahagian dalam enam daripada 10 jenis sukan dipertandingkan iaitu memanah, olahraga, badminton, angkat berat, renang dan boling.

Mengulas lanjut Radhi berkata, sehingga semalam pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan bersama Mohd. Daud dan pihak pengurusan KDA FC bagi menyelesaikan kemelut yang melanda pasukan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI