fbpx

Kekal pertahan Laut China Selatan sebagai kawasan bebas, selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adly bercakap pada sidang akhbar selepas Program PUVET ATM di sebuah hotel di Kota Bharu hari ini. - Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

KOTA BHARU – Malaysia kekal mempertahankan Laut China Selatan sebagai kawasan bebas dan selamat untuk tujuan ekonomi.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pandangan itu telah disampaikan semasa forum pertahanan di Beijing, China dengan menggariskan empat perkara yang menjadi tumpuan dan asas kepada pendirian Malaysia berkaitan keselamatan di Laut China Selatan.

“Paling utama adalah kita (Malaysia) akan kekal mempertahan kedaulatan sempadan dan daerah perairan. Kita cukup tegas dalam konteks ini.

“Kita juga memperjuangkan Laut China Selatan sebagai kawasan bebas dan selamat untuk tujuan ekonomi serta perdagangan. Saya fikir semua negara maklum mengenai perkara itu,” katanya pada sidang media selepas Program Pemerkasaan Usahawan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PUVET ATM) di sebuah hotel, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Adly memberitahu, Malaysia kekal dengan pendirian diplomasi, perbincangan, dialog dan hubungan dua hala antara negara harus menjadi mekanisme penyelesaian sekiranya ada isu atau konflik berbangkit mengenai keselamatan Laut China Selatan.

Katanya, melalui undang-undang antarabangsa, semua pihak terlibat harus memastikan Laut China Selatan menepati konsep ‘freedom of navigation’ iaitu keperluan-keperluan maritim perlu diberikan keutamaan.

“Negara telah mengemukakan empat perkara tersebut semasa forum pertahanan di Beijing. Memang ada beberapa pandangan dan persoalan dikemukakan terhadap pendirian kita mengenai perkara ini.

“Bagaimanapun, Malaysia kekal dengan pendiriannya. Kedaulatan negara kita pertahankan dan sebarang isu berbangkit hendaklah diselesaikan secara hubungan dua hala, perbincangan atau dialog dengan negara-negara terkait,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI