PETALING JAYA – Pernah berdepan kemelut rumah tangga, penyanyi Adira Suhaimi menganggap pelakon Nur Fazura sama sepertinya yang enggan menunjukkan masalah peribadi kepada umum.
Kata Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 32, isteri kepada aktor Fattah Amin itu tampak tenang sepanjang bekerja dengannya dalam penggambaran drama rantaian Andartu Kosmopolitan.
“Dekat set dia sangat okey, dia macam saya, tak tunjuk masalah kepada orang,” katanya dalam perkongsian video di aplikasi TikTok.
Perkara itu awalnya dibangkitkan bekas suaminya, Datuk Red yang turut bersama dalam sesi langsung ketika mereka sedang mempromosikan sambal.
Pada masa sama, ahli perniagaan terbabit turut mengakui penyanyi lagu Takdir Tercipta ituselesa menyimpan kemas rahsia hati.
‘Tapi memang betul, Adira dahulu tak cerita masalah dia kepada sesiapa termasuk ibunya sendiri.
“Jangan kata wartawan, pengurus atau adik-beradik, ibunya sendiri pun tak tahu apa-apa,” ujarnya.
Menerusi video sama, Datuk Red atau Datuk Seri Adnan Abu, 47, turut memberi pandangan ringkas berkaitan kemelut yang dilalui Fazura dan Fattah.
“Itu dah bahagian dia (Fazura), Adira dah melalui apa yang dia lalui. Kita tak berada dalam kasut dia. Kita semua tak tahu siapa yang bersalah,” katanya lagi.
Terdahulu, Fazura mengejutkan industri hiburan apabila memfailkan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 13 September lalu.
Kemelut rumah tangga mereka sehingga hari ini terus meledak dalam media sosial dengan muncul pelbagai dakwaan termasuk tuduhan Fattah berlaku curang.
Spekulasi mula tercetus selepas mereka dikatakan sudah tidak lagi meninggalkan komen atau memberi tanda suka dalam hantaran akaun masing-masing.
Fattah pula memberitahu hanya mengetahui mengenai Fazura memfailkan cerai menerusi media sosial selain menegaskan tidak curang dan masih menyayangi isterinya. – KOSMO! ONLINE