KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin melangkah ke pentas suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka China selepas berjaya menyingkirkan pasangan kembar Taiwan, Lee Fang Jen-Lee Fang Chih di pusingan kedua sebentar tadi.
Pada aksi di Gimnasium Xincheng, Changzhou tersebut, Ee Yi-Yew Sin mempersembahkan aksi cukup cemerlang apabila melakar kemenangan straight set 21-19, 21-14 dalam tempoh 35 minit sekali gus melebarkan rekod tiga kali kemenangan ke atas gandingan ranking No. 28 dunia.
Kemenangan di kejohanan berstatus Super 1000 tersebut amat penting buat gandingan No. 23 dunia tersebut kerana esok mereka akan berdepan antara pemenang Andreas Sondergaard-Jasper Toft atau gandingan ranking No. 6 dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Sementara itu, beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut melangkah ke suku akhir selepas berhempas pulas mengatasi gandingan senegara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King menerusi kemenangan straight set 21-14, 25-23 dalam masa 41 minit.
Hasil kemenangan itu, mereka akan berdepan beregu negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun selepas mengejutkan juara dunia dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Kang Min Hyuk menerusi keputusan straight set, 21-18, 21-19. -KOSMO! ONLINE