KANGAR – Dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Perlis menjadikan jumlah keseluruhan empat PPS bagi menempatkan 149 mangsa banjir daripada 49 keluarga.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Izaimi Md. Daud berkata, dua PPS yang dibuka itu adalah PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Gajah dan PPS SK Dato Ahmad Musa di kawasan Arau, malam tadi.
“Data terkini menunjukkan seramai 31 mangsa banjir di kawasan Kangar, manakala 117 orang lagi dari kawasan Arau,” katanya di sini hari ini.
Dua lagi PPS ialah SK Sena di Kangar dan SK Arau.
Sementara itu, katanya, paras tiga sungai di negeri ini mencatatkan bacaan berjaga-jaga (kuning) dengan Sungai Pelarit merekodkan bacaan 38.30 meter (m); Sungai Timah Tasoh (29.40 m) dan Sungai Gial (8.50 m).
“Analisis keadaan semasa perkembangan harian negeri mendapati cuaca cerah dengan kadar kelajuan angin 18 kilometer sejam. Pemantauan aras sungai pula menyaksikan trend air sungai di beberapa kawasan semakin meningkat tetapi masih berada di paras yang tidak berbahaya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE