fbpx

Babak mandi berkemban dapat ‘green light’ tuan badan – Syazani Zikry

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAZANI sudah mendapatkan persetujuan rakan gandingannya, Sasqia sebelum menjayakan babak mandi berkemban dalam filem Tafakur.

PETALING JAYA – ENGGAN masalah berbangkit kemudian hari, pelakon Syazani Zikry mengakui sudah mendapat kebenaran daripada aktres Sasqia sebelum melakonkan babak mandi berkemban dalam filem Tafakur.

Kata Syazani, 26, dia bersama Sasqia dan pengarah filem tersebut iaitu Feisal Azizuddin telah membuat perbincangan sebelum melakonkan babak itu.

“Apa-apa pun saya perlu mendapatkan kebenaran daripada tuan punya badan. Tidak kira babak apa pun, saya ingin pastikan pelakon yang bergandingan dengan saya nanti berasa selasa.

“Kami (pelakon) dan pengarah ada berbincang dan bertanya kepada Sasqia sama ada dia selesa untuk melakonkan babak itu.

“Lagipun saya hanya merealisasikan apa yang ada dalam skrip untuk dijadikan visual tontonan filem sahaja,” katanya kepada Kosmo! Online.

Menyedari babak tersebut agak sensitif dalam kalangan penonton, Syazani berkata, sebagai pelakon dia bersiap siaga berdepan kritikan.

“Kecaman perkara normal dalam industri. Sama ada kita suka atau tidak memang kena lalui fasa itu.

“Paling penting yang baik kita ambil manakala yang buruk kita buang,” jelasnya.

Selain melakonkan babak ‘panas’, filem tersebut turut menuntut Syazani memakai pakaian menyerupai wanita selain dipanggil Kiyah.

Syazani bagaimanapun menafikan penampilannya itu bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup songsang dalam filem yang mula menemui penonton hari ini.

“Saya ada bertanyakan kepada pengarah mengapa mengambil saya sebagai pelakon untuk watak itu, katanya bentuk muka saya sesuai untuk jadi Kiyah.

“Saya anggap ini sebagai cabaran baharu untuk saya menerokai bidang lakonan. Saya juga banyak bertanya dengan pengarah mengenai watak Kiyah agar apa yang ada dalam skrip sama dengan ditonton.

“Mungkin watak Kiyah agak sensitif, tetapi tugas saya sebagai pelakon untuk mempamerkan komuniti sebegitu sehabis baik berdasarkan skrip,” katanya.

Selain Syazani serta Sasqia, filem terbitan Feisk Productions dan Stelo Infotainment itu turut dibintangi Luqman Hafidz dan Amylia Aidura. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI