PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke China bagi memulakan lawatan negara bermula hari ini.
Istiadat Mengucap Selamat Berangkat bersempena lawatan negara Seri Paduka Baginda berlangsung di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir di Pangkalan Udara TUDM Subang bagi mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka Baginda.
Hadir sama, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan.
Sebelum berangkat, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion 1 Rejimen Askar Melayu Diraja dengan diiringi tembakan meriam dan lagu Negaraku.
Turut mengiringi Yang Di-Pertuan Agong pada lawatan negara ke China ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Lawatan negara Seri Paduka Baginda mencatatkan sejarah penting dalam perhubungan diplomatik Malaysia-China yang memasuki 50 tahun. – KOSMO! ONLINE