fbpx

AEON anjur Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-40 bersama rakan niaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Naoya Okada (lima dari kanan) bersama sembilan rakan niaga yang dianugerahkan dengan AEON Outstanding Partnership Award.

KUALA LUMPUR – AEON Co. (M) Bhd. (AEON) mengadakan majlis ‘AEON 40th Anniversary Thank You Dinner’ untuk meraikan sambutan ulang tahun ke-40 bersama hampir 400 orang rakan niaga, pembekal dan pemegang taruhnya di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lebih istimewa, majlis tersebut turut dihadiri oleh Presiden AEON Co., Ltd. dari Jepun, Akio Yoshida; Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko; Pengerusi AEON, Datuk Iskandar Sarudin dan diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh.

AEON memulakan operasinya di Malaysia pada September 1984 di bawah nama JUSCO, yang merupakan singkatan bagi Japan United Stores Company.

Kehadiran JUSCO adalah hasil inisiatif Kerajaan Malaysia untuk memodenkan industri peruncitan negara dengan kepakaran pengurusan peruncitan termaju dari Asia.

Sejak itu, JUSCO berkembang pesat dan pada tahun 2012, ia dijenamakan semula sebagai AEON, yang bermaksud ‘berkekalan’ dalam bahasa Latin.

Hampir 400 rakan niaga, pembekal dan pemegang taruh menghadiri acara tersebut.

Kini, AEON beroperasi dengan 28 AEON Mall, 35 AEON Store, 6 MaxValu Prime, 62 AEON Wellness dan 46 DAISO di seluruh negara dengan lebih daripada 11,000 orang pekerja, menjadikannya salah sebuah syarikat dengan jumlah pekerja paling ramai di luar Jepun.

Datuk Iskandar Sarudin berkata, perjalanan selama empat dekad itu tidak mungkin dapat dinikmati tanpa sumbangan daripada keseluruhan ekosistem yang terlibat.

“Setiap kejayaan dicapai sentiasa bersandar kepada sokongan daripada Kerajaan Malaysia, komitmen tidak berbelah bagi daripada rakan niaga dan pembekal, kesetiaan pelanggan yang menjadi nadi operasi kami, serta dedikasi dan kerja keras warga AEON yang sentiasa memastikan syarikat ini terus berjaya,” katanya.

Sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan, AEON turut menyampaikan AEON Outstanding Partnership Award kepada rakan niaga dan pembekalnya yang menunjukkan potensi, inovasi, pencapaian dan prestasi yang baik selain menyokong usaha kelestarian AEON.

Bagi Kategori Mall, Poh Kong Jewellers Sdn. Bhd. menerima anugerah AEON Strategic Partner Award, manakala syarikat yang terkenal dengan jenama Zus Coffee, iaitu Zuspresso (M) Sdn. Bhd. diiktiraf sebagai AEON Emerging Partner Award.

Syarikat pembekal cermin mata terkemuka, Focus Point Vision Care Group Sdn. Bhd. pula dianugerahkan AEON Most Celebrated Partner Award.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh sebagai tetamu kehormat pada malam itu.

Sementara bagi Kategori Supplier, AEON Supplier Excellence Award (Foodline) dianugerahkan kepada Abbott Laboratories (M) Sdn. Bhd., AEON Supplier Excellence Award (Softline) diberikan kepada Unitrade Venture Sdn. Bhd. dan AEON Supplier Excellence Award (Hardline) kepada Goldtex Exim Sdn. Bhd.

Selain itu, AEON Supplier Excellence Award (Health and Beauty Care) dianugerahkan kepada Lam Soon Edible Oils Sdn. Bhd., manakala Syarikat Dasher Distribution Sdn. Bhd. menerima AEON Emerging Partner Award.

Untuk Kategori Corporate, GSPARX Sdn. Bhd., yang bertanggungjawab memasang panel solar di semua AEON Mall, telah dianugerahkan AEON Sustainability Partner Award.

Kesemua anugerah disampaikan oleh Pengarah Urusan AEON Co. (M) Bhd., Naoya Okada. Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian yang memukau daripada artis tersohor negara, Dayang Nurfaizah.

Pada majlis sama, Fuziah dalam ucapannya menzahirkanmenyampaikan penghargaan kepada AEON atas pencapaian selama 40 tahun di Malaysia.

Majlis dimeriahkan dengan persembahan nyanyian yang memukau daripada Dayang Nurfaizah.

Beliau menzahirkan kegembiraan kerana AEON sentiasa bersedia menyokong aspirasi kerajaan untuk memastikan pengguna dapat menikmati produk berkualiti tinggi pada harga yang kompetitif, yang merupakan satu amalan yang bernilai bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia.

AEON 40th Anniversary Thank You Dinner adalah sebahagian daripada siri aktiviti yang diatur sepanjang tahun 2024 bagi meraikan ulang tahun AEON yang ke-40.

Turut diadakan ialah kempen jualan dan promosi istimewa, jerayawara ‘Senyum Tour’, program penghargaan pelanggan dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat. – KOSMO! ONLINE

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI