fbpx

‘Ada sesiapa boleh bantu saya jadi doktor?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Faisal menunjukkan kaki anaknya, Muhammad Adam Hanif yang lemah selepas disahkan menghidap kecacatan tulang belakang ketika ditemui di Kampung Sidam Kanan, Kulim baru-baru ini.

KULIM – Seorang kanak-kanak berdepan ujian berat pada usia muda apabila terpaksa menggunakan papan luncur untuk bergerak selepas menghidap penyakit saraf yang mengakibatkannya mengalami kecacatan tulang belakang atau spina bifida.

Muhammad Adam Hanif Mohd. Faizal, 10, sebelum ini hanya mampu mengesot dan merangkak ekoran lemah dari pinggang hingga ke kaki sebelum dihadiahkan papan gelongsor yang membolehkan pergerakannya lebih pantas

Bapanya, Mohd. Faisal Shahri, 37, berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu telah dibedah untuk membantu pergerakan dan membesarkan ototnya tahun lalu.

Katanya, anaknya menggunakan kerusi roda ketika pergi ke Sekolah Sekolah Kebangsaan Guar Lobak, Padang Serai.

“Walaupun ada kaki palsu, namun kerusi roda lebih sesuai ke sekolah dan hospital. Dia masih pakai lampin pakai buang.

“Jika lampin penuh, sekolah akan menghubungi isteri, Umi Kalsom Awang, 37, untuk tukar,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Sidam Kanan, di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Faisal, anak­nya menjalani rawatan susulan di Hospital Kulim Hospital Kuala Lumpur, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Prince Court di Kuala Lumpur.

Tambahnya, dia juga terpaksa melakukan kerja gaji hari supaya mudah membawa anaknya ke hospital.

“Kos keseluruhan ke hospital RM1,000 dan syukur saya dapat bantuan daripada orang ramai, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan zakat,” katanya.

Dalam pada itu, Umi Kalsom berkata, dia tiada kerja tetap kerana perlu menjaga dua lagi anaknya, Muhamad Aidan Wafiq, 7, dan Nur Dhia Aiqa, 3.

“Anak saya bercita-cita menjadi doktor selepas dia melihat pakar yang membantu kami itu menghidap penyakit yang sama sepertinya dan bergerak menggunakan kerusi roda.

“Penyakitnya boleh dirawat dan kemungkinan boleh berjalan tu ada,” tambahnya.

Orang ramai yang ingin ­menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional 0200441000185621 milik Mohd. Faisal atau menghubunginya di talian 013-827 4309 untuk maklumat lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI