KUALA LUMPUR – Selangor FC memulakan kempen Liga Juara-Juara 2 (ACL 2) dengan keputusan seri selepas diikat 1-1 oleh kelab Thailand, Muangthong United di Stadium Rajamangala, sebentar tadi.
Penjaga gol Red Giants, Azim Al Amin Kamaruddin yang diberi amanah selaku benteng terakhir pasukan menjadi antara pemain paling menyerlah menerusi aksi tangkasnya ketika menafikan beberapa percubaan bahaya pemain tuan rumah.
Terdahulu, aksi seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan dengan menyaksikan gerakan Selangor FC lebih tertumpu di sebelah kanan menerusi Alvin Fortes.
Minit ke-12, kesilapan pertahanan tuan rumah memberikan peluang terbaik buat Selangor FC membuka jaringan namun kesempatan itu gagal disudahkan dengan lebih baik oleh Ali Olwan yang sekadar melakukan sepakan tepat ke arah penjaga gol lawan, Kittipong Phoothawchuek.
Di hujung permainan, Red Giants dihimpit situasi cemas sebaliknya Azim berjaya memainkan peranan lebih berkesan untuk menafikan dua peluang terbaik Muangthong United daripada Poramet Arjvirai dan Kakana Khamyok.
Bersambung babak kedua, keputusan Nidzam Jamil memasukkan Yohandry Orozco nyata menghasilkan impak segera apabila pemain itu hanya memerlukan dua minit untuk melakukan umpanan menarik yang disudahkan oleh Ronnie Fernandez.
Bagaimanapun kelebihan itu hanya bertahan enam minit apabila Purachet Thodsanit meledak gol penyamaan buat tuan rumah.
Aksi seterusnya berlangsung agak seimbang dan menyaksikan Azim terus menyerlahkan kualitinya sekaligus memaksa kedua-dua pasukan berpuas hati berkongsi satu mata. – KOSMO! ONLINE