BEIRUT – Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan lebih 450 yang lain cedera dalam gelombang kedua letupan peralatan komunikasi di Lebanon, kata kementerian kesihatan seperti laporan Perbadanan Penyiaran Britain hari ini.
Alat walkie-talkie yang digunakan oleh kumpulan bersenjata, Hizbollah meletup di Lembah Bekaa, selatan Beirut dan juga selatan Lebanon yang menjadi kubu kuat mereka.
Beberapa letupan itu turut berlaku semasa majlis pengebumian untuk 12 orang yang terbunuh apabila alat kelui yang digunakan pejuang-pejuang Hizbollah meletup kelmarin.
Hizbollah menyalahkan Israel berhubung serangan itu. Israel pula tidak mengulas mengenainya.
Siri serangan itu berlaku ketika Menteri Pertahanan Yoav Gallant mengumumkan fasa baharu dalam perang tersebut yang menyaksikan Tel Aviv mengerahkan semula tenteranya ke utara Israel. – AGENSI