SEBERANG PERAI – Seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang bekerja sebagai pemotong rumput dengan sebuah syarikat kontraktor ditahan dalam serbuan di Taman Tangling Indah, Simpang Ampat di sini semalam.
Menurut jurucakap Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Ops Sapu itu dijalankan di lapan buah rumah dua tingkat di taman perumahan terbabit yang disewa majikan dan dijadikan asrama pekerja warga asing.
“Sebelum ini, ada aduan berhubung warga asing terbabit disalurkan penduduk menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) dan kini telah dikenakan tindakan.
“Kita telah memeriksa seramai 75 orang penghuni warga asing dan 15 daripadanya tidak memiliki dokumen perjalanan dan pas yang sah.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 14 lelaki dan seorang wanita warga Myanmar berumur antara 22 hingga 46 tahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua yang ditahan bekerja dengan kontraktor syarikat pembersihan yang dilantik pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai pemotong rumput.
“Mereka gagal untuk mengemukakan dokumen dan tidak dapat memberikan sebarang keterangan mengenai keberadaan mereka di Malaysia.
“Siasatan ke atas majikan serta pemilik kediaman juga akan dilakukan dan akan dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang sekiranya terdapat elemen kesalahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE