fbpx

100 rumah rosak, 79 pokok tumbang dibadai ribut kuat di Sik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan sebuah rumah yang rosak ditimpa pokok tumbang dalam kejadian ribut di Sik pada petang semalam. - Foto APM Sik

SIK – Angkatan Pertahanan Awam (APM) menerima sebanyak 100 kes kerosakan rumah sehingga pukul 10.30 pagi ini akibat kejadian ribut kuat yang melanda daerah ini pada petang semalam.

Kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu melibatkan dua mukim iaitu Sik dan Jeneri.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd. Napiah berkata, sebanyak 73 kes rumah terjejas di mukim Sik dan 27 kes lagi di mukim Jeneri.

Katanya, hujan sejak 15 September lepas turut menyumbang kepada berlakunya pokok tumbang susulan struktur tanah yang lemah, ditambah pula kejadian angin kencang pada semalam.

“Sehingga pukul 10 pagi ini, Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Sik merekodkan kejadian pokok tumbang sebanyak 74 kes dan tambahan lima lagi kes pagi ini.

“Alhamdulillah kerjasama agensi penyelamat APM, bomba, Jabatan Sukarelawan (Rela) Sik dan orang awam serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Khidmat Malaysia Kawasan Sik berjaya menyelesaikan sebahagian besar kes diterima,” ujarnya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan peka dengan keadaan sekeliling berikutan ramalan cuaca waspada sehingga lusa dan sebarang kes kecemasan di Sik boleh menghubungi APM Sik di talian 0108177991 atau talian kecemasan 999. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI