MUAR – Seorang warga emas ditemui meninggal dunia di dalam kereta di Muar dipercayai selepas membuat rawatan dialisis di Masjid Tanah Melaka.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, pihak polis mengesahkan menerima maklumat atas kejadian tersebut dari orang awam yang telah menghubungi talian kecemasan 999.
“Mangsa berumur 63 tahun tersebut telah ditemui tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang di dalam sebuah kereta Proton Saga Warna Kelabu di Bandar Muar.
“Pihak polis telah merakam percakapan anak mangsa yang merupakan pemilik kenderaan yang mengesahkan bapanya menghidap penyakit buah pinggang dan menjalani dialisis di Masjid Tanah, Melaka.
“Tiada sebarang unsur jenayah dikesan oleh pihak polis dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),”katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Raiz Muhkliz, siasatan masih diteruskan di mana mayat mangsa di bawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.
Sementara itu, anak mangsa, Firdaus Ramli, 30, berkata, bapanya, Ramli Kasim, 63, telah keluar dari rumah seawal pukul 4 pagi pada 16 September lalu untuk mendapatkan rawatan dialisis di Masjid Tanah.
“Ayah saya memang menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.
“Saya telah membuat laporan kehilangannya pada 16 September setelah dia tidak pulang ke rumah seperti kebiasaanya selepas membuat rawatan dialisis dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Masjid Tanah, Melaka,” katanya.- KOSMO! ONLINE