JITRA – Seorang wanita sarat hamil berjaya diselamatkan anggota bomba setelah rumah keluarganya di Kampung Kota Mengkuang, di sini dinaiki air sejak semalam.
Menurut Mohd. Fitri Hamzah, 31, dia dan isterinya, Norshuhaida Ramli, 30, yang menetap di Rawang, Selangor pulang ke kampung untuk menyambut kelahiran anak sulung dengan tarikh jangkaan bersalin pada esok.
“Alhamdulillah isteri saya berjaya dipindahkan dari rumah yang dilanda banjir sehingga paras pinggang pada semalam oleh anggota bomba ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar kira-kira pukul 10.50 pagi tadi.
“Ia sebagai langkah awal bagi mengelakkan sebarang kesukaran susulan kawasan sekitar kampung itu sudah dinaiki air. Isteri saya sememangnya dijadualkan bersalin esok dan dia dinasihatkan untuk daftar masuk ke wad hari ini untuk pemantauan,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Lubuk Batu, di sini hari ini.
Katanya, pihak bomba membantu mengeluarkan dia dan isteri dari rumah menggunakan kenderaan pacuan empat roda, sebelum dipindahkan ke dalam ambulans.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Mohd. Bustan Karudin berkata, Norshuhaida merupakan satu-satunya mangsa yang sarat mengandung diselamatkan mereka.
“Pada semalam ramai mangsa orang kelainan upaya (OKU) dan lumpuh yang kami selamatkan. Sejak banjir berlaku di daerah Kubang Pasu ini, seramai 86 anggota bomba digerakkan untuk operasi menyelamat,” ujarnya.
Sementara itu, menurut salah seorang mangsa di Derang, Pokok Sena, Wan Azwari Wan Mohamad, 61, dia berhadapan dengan saat-saat mencemaskan apabila kenderaannya terkandas ketika cuba melalui jalan yang dinaiki air itu.
“Saya tinggal di sebuah inap desa di sini dan anak memaklumkan yang mereka diarahkan berpindah. Jadi, tadi saya cuba bawa sedikit bekal makanan sebelum mereka berpindah. Bagaimanapun ketika cuba meredah air, kenderaan kami terkandas,” katanya.
Tinjauan di sekitar Kubang Pasu dan Pokok Sena itu mendapati beberapa jalan terpaksa ditutup setelah dinaiki air termasuk Jalan Derang-Pokok Sena di Pokok Sena dan Jalan Pelubang-Wang Tepus di sini. – KOSMO! ONLINE