fbpx

[VIDEO] Teruja rakam fenomena ombak tinggi di Padang Kota Lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengunjung mengambil kesempatan merakam gambar dan video kejadian ombak tinggi di Padang Kota Lama, hari ini.

GEORGE TOWN – Keadaan angin kencang dan air pasang tinggi mengakibatkan ombak kuat menghentam kawasan pesisir pantai termasuk di Esplanade atau lebih popular dikenali sebagai Padang Kota Lama.

Tinjauan Kosmo! hari ini mendapati, walaupun dibadai ombak kuat sehingga mengakibatkan air laut melimpah keluar dari tembok penghadang, namun, orang ramai tetap memilih berkunjung ke destinasi tumpuan di situ.

Pengunjung turut dilihat merakamkan gambar dan video fenomena ombak kuat sepanjang laluan pejalan kaki.

Difahamkan, keadaan air pasang tinggi juga dikesan berlaku pada masa ini, di mana paras air laut direkodkan berada pada paras 1.8 meter hingga 2 meter.

Seorang pengunjung, Mahmad Samad, 60, berkata, sejak semalam dia berada di sekitar Padang Kota Lama untuk melihat fenomena ombak besar.

“Semalam lagi teruk di mana ombak melimpah dengan banyak di kawasan Padang Kota Lama, hari ini ombak agak kuat, namun tidak seteruk semalam. Saya berada di sini untuk melihat keadaan ombak kerana fenomena ini jarang-jarang berlaku,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, seorang lagi pengunjung yang merupakan pelajar di sebuah universiti awam, Muhammad Bukhari Bakri, 23, berkata, dia mengambil kesempatan untuk berkunjung ke Pulau Pinang memandangkan dia sedang bercuti semester.

”Saya sentiasa mengambil maklum dengan keadaan cuaca terkini dan memang ada amaran ombak kuat dan angin kencang pada masa ini.

“Saya ambil kesempatan untuk merakamkan video dan mengambil gambar ombak kuat yang melanda Padang Kota Lama untuk kenang-kenangan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Amir Izzuddin Omar,23, berkata, dia sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca dan ombak yang membadai kawasan pantai pada masa ini.

“Saya membawa rakan bersiar-siar ke kawasan Padang Kota Lama dan ombak memang agak kuat, kami sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI