PETALING JAYA – Pencipta kandungan YouTube, IShowSpeed yang berada di negara ini bagi siri jelajahnya, tidak ketinggalan mencuba beberapa makanan jalanan (street food) dan salah satunya ialah burger daripada pengeluar makanan proses terkenal di Malaysia.
Menerusi video tular di media sosial, selebriti terkenal dari Amerika Syarikat itu mencuba burger tersebut yang disediakan seorang penjual, seterusnya dia memberikan ‘rate’ 9.5 daripada 10.
“Ya Tuhan ia nampak sedap. Dia bungkus telur dengan daging. Apa benda ni. Saya tak pernah nampak sebelum ini.
“9.5 daripada 10. Ya Tuhan, kenapa semuanya bagus di sini (Malaysia),” katanya pada video tersebut.
Semalam Kosmo! melaporkan, IShowSpeed atau nama sebenarnya Darren Jason Watkins Jr. dilaporkan berkunjung ke Malaysia sebagai destinasi pilihan siri jelajahnya melawati negara di Asia Tenggara.
Pemuda tersebut sebelum ini telah berkunjung ke Vietnam, Kemboja dan Thailand, seterusnya ke negara ini serta mengakhirinya jelajahnya ke Singapura. – KOSMO! ONLINE