MILAN – Jurulatih Inter Milan, Simone Inzaghi mengakui tidak kesal dengan tindakan melakukan penggiliran pemain biarpun sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Monza dalam saingan Serie A kelmarin.
Ia disebabkan beliau perlu merehatkan beberapa pemain utama bagi memastikan mereka berada dalam keadaan cergas sepenuhnya menjelang perlawanan pertama Liga Juara-Juara (UCL) menentang Manchester City di Stadium Etihad awal pagi esok.
Pertemuan menentang City dianggap cukup penting buat skuad Nerazzurri memandangkan ia merupakan peluang terbaik untuk menebus kekalahan 0-1 di perlawanan akhir UCL di Istanbul, Turkiye musim lalu.
“Kami pernah menggunakan sistem penggiliran pemain ketika menentang Genoa sebelum ini dan turut melakukannya bertemu Monza. Ianya sangat diperlukan kerana ramai pemain baru sahaja pulang daripada tugasan antarabangsa.
“Memang kecewa tidak dapat mengutip tiga mata penuh berdepan Monza tetapi kami tidak ada cara lain. Kami mahu bermula dengan langkah positif pada perlawanan sulung Liga Juara-Juara musim ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga percaya Inter perlu berada pada prestasi terbaik, mengambil kira aksi konsisten ditampilkan City setakat ini apabila menang kesemua empat perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Kami tahu apa yang mereka boleh lakukan sekiranya kami tidak berwaspada dan ia terbukti pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara tahun lalu. Saya harap pemain-pemain Inter sudah bersedia sepenuhnya,” ujar Inzaghi. – AGENSI