ALOR SETAR – Semua perjalanan feri keluar masuk ke Langkawi hari ini sekali lagi terpaksa dibatalkan demi keselamatan penumpang berikutan hujan dan ribut yang menyebabkan laut bergelora serta angin kencang.
Pengurus Besar Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Dr. Baharin Baharom berkata, pembatalan itu melibatkan tiga perjalanan ke Langkawi dan lima perjalanan ke Kuala Kedah membabitkan kira-kira 2,950 penumpang.
“Kira-kira pukul 11 pagi tadi, sebuah feri yang membawa membawa 555 penumpang dari Langkawi ke Kuala Kedah terpaksa berpatah balik akibat cuaca buruk. Setelah penilaian dibuat, keputusan untuk membatalkan kesemua perjalanan feri pada hari ini terpaksa diambil demi keselamatan penumpang.
“Ketinggian ombak pada hari ini dianggarkan cuma mencecah 3.5 meter berbanding lima meter yang dicatatkan semalam. Namun keadaan itu masih dikategorikan sebagai bahaya kepada feri dan penumpang selain cuaca hujan dan ribut yang dijangka berterusan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengikut jadual asal, terdapat lima perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah dijadualkan hari ini iaitu pada pukul 11 pagi, 12.30 tengah hari, 2 petang, 2.05 petang dan 2.10 petang.
Untuk perjalanan ke Langkawi dari Kuala Kedah pula, terdapat tiga trip yang terpaksa dibatalkan iaitu pada pukul 12.30 tengah hari, 2 petang dan 3.30 petang.
Ini merupakan hari kedua berturut-turut kesemua perjalanan feri itu terpaksa dibatalkan ekoran keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
Semalam, sebanyak 10 perjalanan keluar masuk terpaksa dibatalkan melibatkan 3,945 penumpang.
Ujar beliau, pihaknya ada membuat permohonan kepada Jabatan Laut Malaysia (JLM) untuk melencongkan feri dari Langkawi ke Kuala Perlis, namun permintaan itu difahamkan tidak dapat diluluskan berikutan keadaan di terminal feri tersebut yang terlalu sesak.
“Difahamkan terminal feri di Kuala Perlis juga sudah tidak dapat menampung jumlah penumpang di situ. Disebabkan itu, kami tidak mempunyai pilihan selain membatalkan feri yang dijadualkan melakukan perjalanan ke Kuala Kedah.
“Kami faham kesukaran dihadapi pelancong yang terkandas di Langkawi kerana mereka mungkin terbeban dengan kos kerana terpaksa menyewa hotel untuk tempoh lebih panjang. Tetapi tindakan ini terpaksa diambil demi keselamatan semua,”- katanya. – KOSMO! ONLINE