KUALA LUMPUR – Jaguh perseorangan lelaki Denmark, Viktor Axelsen menjadi nama besar terbaharu tersingkir daripada Kejohanan Badminton Terbuka China selepas tewas di pusingan pertama sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Xincheng, Changzhou, pemenang dua pingat emas Sukan Olimpik itu tewas mengejut kepada pemain No. 28 dunia dari China, Lei Lan Xi dengan keputusan tiga set 19-21, 21-17, 16-21.
Kekalahan itu menyaksikan dia mengikut jejak langkah perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia yang turut dihantar pulang awal semalam selepas tewas 15-21, 2-21 kepada Koki Watanabe dari Jepun.
Bagaimanapun, kekalahan Axelsen mungkin disebabkan faktor penat memandangkan dia baru sahaja menamatkan aksi Terbuka Hong Kong pada Ahad lalu yang menyaksikan dia memenangi kejohanan tersebut.
Selain Axelsen dan Zii Jia, beberapa nama besar lain termasuk pilihan keempat dari China, Li Shi Feng serta perseorangan wanita Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung turut tersingkir daripada kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 itu. – KOSMO! ONLINE