KUALA LUMPUR – Jaguh tenpin boling negara, Muhammad Rafiq Ismail berjaya menebus kekecewaan edisi lepas dengan merangkul emas dalam acara perseorangan lelaki pada Kejohanan Tenpin Boling Asia (ATBC) ke-27 di Bangkok, Thailand sebentar tadi.
Rafiq tidak sekadar menempatkan dirinya ke podium tertinggi, tetapi turut mengetuai dominasi Malaysia apabila skuad negara menyapu bersih kedudukan 1-2-3 dalam acara tersebut dengan mencatat jumlah keseluruhan 1,419 jatuhan pin dalam enam permainan menerusi purata 236.50 jatuhan pin di Blu-O Rhythm & Bowl Ratchayothin.
Kemenangan tersebut diperoleh dengan margin 36 pin berbanding Hafiz Zainuddin di tempat kedua (1,383), manakala bekas juara Piala Dunia AMF, Syafiq Ridhwan Abdul Malek meraih gangsa dengan jumlah keseluruhan 1,370 jatuhan pin.
Meskipun pemain Australia, Jarrod Langford menduduki tempat kedua keseluruhan dengan jumlah 1,391 jatuhan pin, Hafiz dianugerahkan pingat perak selepas Australia bersaing sebagai pasukan jemputan.
Tiga lagi wakil negara turut memberi saingan dengan Izz Naqiuddin Putera Islahuddin (1,305), Shaqeem Izwan Teh Shahrul Hafiz Teh (1,183) dan Tun Hakim Tun Hasnul Azam (1,157) masing-masing menduduki tempat ke-14, ke-50 serta ke-61 daripada 119 peserta keseluruhan.
Selepas kejayaan tersebut, Rafiq kini memburu kilauan emas seterusnya dalam acara beregu lelaki yang dijadualkan esok di mana dia akan bergandingan bersama Syafiq Ridhwan dan optimis untuk menambah emas dalam kategori ini kerana masih belum pernah memenangi acara beregu.
“Saya sangat gembira kerana berjaya meraih pingat emas pertama dalam acara perseorangan. Sekarang, saya telah menjuarai semua acara kecuali acara beregu. Sasaran seterusnya adalah untuk memenangi emas dalam acara beregu esok bersama rakan sepasukan saya, Syafiq Ridhwan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sebagai rekod, pada Rafiq berjaya merangkul empat emas, satu perak dan kini berhasrat untuk mengekalkan momentum kemenangannya. – KOSMO! ONLINE