PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan perbicaraan pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf atas pertuduhan mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin didengar selama 15 hari bermula Januari tahun depan.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh menetapkan tarikh perbicaraan selama tiga minggu berturut-turut pada 20 hingga 24 Januari, 3 hingga 7 Februari dan 17 hingga 21 Februari 2025.
Pada prosiding sebutan hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh memaklumkan pihak pendakwaan akan mengemukakan 15 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan tersebut.
Beliau turut memaklumkan, pihak pendakwaan sudah menyerahkan kepada pihak pembelaan dokumen lanjutan iaitu tiga laporan forensik melibatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tempat kejadian, laporan dari syarikat telekomunikasi dan laporan telefon bimbit.
Sementara itu, peguam Fahmi Abd. Moin memaklumkan pihaknya akan menghantar representasi dalam tempoh terdekat agar Jabatan Peguam Negara (AGC) menyemak pertuduhan yang dikenakan terhadap kedua-dua anak guamnya.
Mahkamah kemudian menetapkan 6 Disember ini bagi perkembangan representasi tersebut.
Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf dituduh mengabaikan anak mereka di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 29 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE