PETALING JAYA – Bagi mengisi masa lapang sepanjang cuti hujung minggu lalu, ramai yang mengambil peluang melakukan aktiviti pendakian bersama keluarga dan rakan-rakan sehingga kebanyakan kawasan bukit serta gunung dibanjiri golongan pendaki.
Situasi sama turut berlaku di Gunung Baling, Kedah baru-baru ini apabila keadaan di sana sesak dengan ratusan pendaki yang mahu memanfaatkan cuti mereka melihat keindahan alam hijau.
Menerusi perkongsian pengguna TikTok @daushalim_, memaparkan puluhan pendaki menunggu giliran untuk memanjat laluan berbatu menuju ke puncak Gunung Baling.
“Gunung Baling tak ‘relax’, bukan jalan sahaja sesak, naik trek pun sesak,” tulisnya pada ruangan kapsyen.
Meninjau ke ruangan komen, 360 pengguna meninggalkan reaksi berbeza sehingga video perkongsian itu meraih lebih 337,000 tontonan dalam tempoh 24 jam.
“Kenapa ramai semacam ada kenduri mungkin atas itu,” seloroh Meklinn.
“Panjat gunung pun trafik tak lancar, semangat orang kita, bersesak-sesak dahulu, bersenang-senang kemudian,” kata Jenny.
“Ingat dekat lebuh raya sahaja sesak, dekat gunung pun sama,” kata @tok0125.
“Dah kenapa ramai sangat ini. Ada buat temujanji ke?,” komen Sweety. – KOSMO! ONLINE