fbpx

Ombak besar ‘pulangkan’ sampah manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jalan pesisir pantai Sungai Padang, dekat Kangar yang dipenuhi sampah.

KANGAR – Fenomena hujan lebat dan ribut petir sejak beberapa hari lalu yang bertembung dengan air pasang besar menyebabkan jalan di pesisir pantai Sungai Padang, dinaiki air serta sampah dari laut terdampar di laluan berkenaan.

Tinjauan pada petang tadi dari Kuala Perlis hingga ke Sungai Padang mendapati jalan itu dipenuhi pelbagai jenis sampah seperti botol plastik, serpihan kaca, buah kelapa dan peralatan menangkap ikan.

Terdapat juga ternakan seperti kambing serta bangkai ikan kecil dipercayai spesies air tawar yang dipercayai mati setelah air sungai berdekatan dimasuki air masin.

Seorang penduduk, Sabu Said, 80, berkata, penduduk kampung terpaksa keluar sendiri membersihkan laluan yang dipenuhi kaca dan paku pada petang tadi.

Katanya, inisiatif itu diambil oleh beberapa penduduk Kampung Sungai Belati kerana ia adalah laluan utama penduduk untuk keluar bekerja.

Sementara itu, sehingga pukul 7 malam ini, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Perlis dan dimaklumkam satu lagi PPS berkemungkinan dibuka di Sungai Padang.

Untuk rekod, sehingga pukul 7.40 malam tadi, sebanyak 26 mangsa dari 12 keluarga ditempatkan di PPS Dewan SK Sena.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menyifatkan fenomena yang berlaku kali ini agak serius walaupun melibatkan sedikit mangsa.

“Saya menasihatkan mangsa banjir supaya berpindah mengikut arahan pihak berkuasa. Keengganan berpindah boleh menyukarkan usaha menyelamat terutama pada waktu malam.

“Selain itu, mangsa juga terdedah kepada ancaman renjatan elektrik dan binatang berbisa juga berbahaya kepada penduduk terjejas,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Shukri turut memaklumkan bantuan akan disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal.

“Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) juga telah meluluskan tabung bencana untuk membantu mangsa terjejas. Kerajaan negeri, JKM dan Baitulmal akan turut membantu mangsa terkesan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI