SABAK BERNAM – Keluarga seorang pengawal keselamatan sekolah yang dipercayai mati dibunuh sebelum mayatnya ditemui dalam but kereta di Taman Pertama di sini, masih dalam keadaan terkejut dan mahu suspek dihadapkan ke muka pengadilan.
Isteri mangsa berusia 39 tahun yang enggan dikenali berkata, kali terakhir bertemu dengan arwah suaminya yang berusia 43 tahun tersebut pada Sabtu lalu sebelum pergi ke Dengkil atas urusan keluarga.
Katanya, dia sempat berpesan kepada arwah suaminya supaya memandu kereta ke tempat kerja kerana cuaca tidak menentu.
“Namun, keesokannya (Ahad) saya mula gelisah apabila arwah masih tidak pulang ke rumah dan tidak membalas mesej WhatsApp.
“Alangkah terkejutnya apabila polis memaklumkan mayat arwah ditemukan dalam but kereta jenis Proton Saga tersebut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sekitar daerah ini, hari ini.
Difahamkan, kereta jenis Proton Saga BLM tersebut adalah milik isteri arwah dan mangsa selalunya ke tempat kerja menaiki motosikal.
Isteri mangsa yang juga pengawal keselamatan di sebuah kolej memaklumkan telah berkahwin dengan arwah sejak 11 tahun lalu namun belum mempunyai cahaya mata.
Dakwa wanita itu, arwah telah bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah rendah sejak setahun lalu tidak mempunyai musuh malah disenangi ahli keluarga, jiran dan kenalan.
“Arwah tidak pernah menceritakan keburukan orang lain malah dia suami yang baik dan mengutamakan keluarga. Dia juga tidak pernah menyembunyikan sesuatu dan sentiasa berterus terang dengan saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Robin Guha Thakurta ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan rapi terutama mengumpul bahan bukti berhubung kes berkenaan dan mengesan suspek terlibat dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kosmo! semalam melaporkan seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah disyaki dibunuh selepas mayatnya ditemui di dalam but sebuah kereta di tepi Jalan Pasir, Taman Pertama di sini kelmarin.
Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kecederaan pada anggota badan mangsa dengan polis mengesahkan wujud unsur jenayah menyebabkan kematian tersebut. -KOSMO!ONLINE