fbpx

‘Mara tak pernah lantik ejen, orang tengah, semua itu penipu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Asyraf Wajdi menegaskan bahawa Mara tidak pernah melantik dan mengiktiraf ejen atau orang tengah dalam mengendalikan urusan berkaitan agensinya.

PETALING JAYA – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan pihaknya tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen atau orang tengah bagi mewakili Mara dalam berurusan dengan pelanggan.

Dr. Asyraf Wajdi menerusi hantaran di Facebooknya hari ini berkata, jika ada pihak yang mengaku mereka adalah ejen Mara, percayalah itu hanya modus operandi seorang penipu atau ‘scammer’.

“Jangan percaya dan usah gunakan sebarang khidmat ejen untuk berurusan dengan Mara.

“Itu semua kaki penipu dan pemeras untuk dapatkan komisyen sedangkan Mara tidak pernah iktiraf orang tengah,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas menerima aduan daripada seorang individu yang mendakwa dia dipaksa membayar RM5,000 kepada seorang ejen bagi membantu mempercepatkan proses pinjaman perniagaan daripada Mara.

“Menyirap darah saya apabila seorang hamba Allah mengadu kepada saya semalam di Kluang. Saya beritahu dia, Mara tidak pernah iktiraf mana-mana ejen atau orang tengah untuk berurusan dengan Mara.

“Kalau ada laporkan terus kepada saya. Saya sendiri akan minta pegawai SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) di Mara ketika ini untuk siasat,” katanya.

Beliau menambah, sekiranya terdapat pegawai Mara yang terlibat dalam isu tersebut, tindakan tegas bakal dikenakan.

“Mara tiada kompromi dan akan ambil tindakan tegas terhadap mereka yang seleweng dan culas dalam menjalankan amanah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI