PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia memiliki alasan tersendiri mengapa dia tidak dapat menampilkan aksi terbaik ketika tersingkir di pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka China semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Xincheng, Changzhou, pemain No.3 dunia itu berdepan kejutan terbesar apabila tewas mengejut 15-21, 2-21 kepada Koki Watanabe dari Jepun dalam tempoh 29 minit.
Dia yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 menjelaskan, kondisi badannya belum pulih 100 peratus, terutamanya selepas pulang daripada temasya sukan terbesar dunia tersebut.
“Pada set pertama, saya mendahului perlawanan dengan jurang mata yang agak besar, tetapi tidak dapat untuk memenanginya. Secara jujur, kondisi badan saya belum pulih sepenuhnya dan perlu bekerja keras untuk kembali ke tahap sebenar.
“Saya tidak pernah cakap mengenainya (kecederaan) kepada media. Selepas Olimpik, keadaan badan saya agak pelik dengan banyak kecederaan yang mula ‘menyerang’, saya pun tidak tahu kenapa,” katanya kepada BWF selepas tamat perlawanan.
Menerusi kekalahan itu, Zii Jia terus kempunan untuk mencatat kemenangan ke atas Watanabe dalam dua pertemuan setakat ini dengan perlawanan pertama pada Terbuka Switzerland tahun lalu turut memihak kepada pemain Jepun berkenaan.
Biarpun kecewa dengan keputusan mengejutkan itu, namun dia tekad untuk kembali mendapatkan kondisi terbaiknya dalam usaha melayakkan diri ke kejohanan Jelajah Dunia Akhir yang dijadualkan berlangsung di Hangzhou, China Disember depan.
“Seperti saya cakap, ia (kecederaan) agak pelik kerana dapat rasa sakit di seluruh badan termasuk siku selain bahagian belakang yang ‘ketat’. Saya harap situasi ini bertambah baik nanti.
“Selain itu, ia juga adalah sesuatu yang perlu diselesaikan bagi memastikan saya dapat kembali ke kondisi terbaik untuk layak ke Jelajah Dunia Akhir nanti,” ujar bekas juara Asia dan All England itu.